Tuesday, October 13, 2009

Kata Lukman Al-Hakim

Wahai anakku,sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam.
Ramai manusia yang karam di dalamnya.
Jika kau mahu selamat dari karam,
layarilah lautan ini dengan sampan
yang bernama;
takwa,
isinya; iman,
dan layarnya;
tawakal kepada Allah.

Burung pipit bantu padamkan api




NEGARA Babylon adalah negeri yang aman dan makmur.
Raja yang memerintah negeri itu ialah Raja Namrud bin Kan'an.
Negeri Babylon ini mempunyai tanah yang luas dan subur.

Raja Namrud memerintahkan rakyatnya mengukir patung-patung berhala.

Mereka menganggap patung-patung itu adalah Tuhan.

Ketika itu, Nabi Ibrahim diutus untuk menyeru keluarganya dan kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala. Tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Akhirnya, Nabi Ibrahim pergi ke istana Raja Namrud.

Baginda mahu menemui Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya. B

Baginda mahu penyembahan berhala dihentikan. Raja Namrud dan pengikutnya tidak mengendahkannya.

Pada setiap tahun, rakyat Babylon akan menyambut perayaan secara besar-besaran.

Pada hari tersebut mereka akan keluar menuju ke tempat perhimpunan.

Ketika itulah Nabi Ibrahim menjalankan rancangannya. Selepas mereka keluar menyambut perayaan, Nabi Ibrahim masuk ke tempat penyembahan mereka. Baginda memecahkan patung-patung berhala kecuali patung yang paling besar. Kemudian baginda menggantungkan kapak tadi di leher patung yang paling besar itu.
Selepas itu pulanglah semua orang daripada menyambut perayaan. Mereka pergi ke tempat berhala itu untuk menyembahnya. Alangkah terkejutnya mereka apabila didapati semua tuhan-tuhan mereka telah hancur dan berselerakan di atas lantai.

Mereka mencari Nabi Ibrahim dan menangkapnya. Raja Namrud mahu Nabi Ibrahim dibawa ke hadapan orang ramai supaya menjadi saksi atas perbuatan jenayahnya. Raja Namrud memerintahkan Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup.

Raja Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya mengumpul kayu-kayu. Setelah satu timbunan kayu api yang besar dilonggokkan, api pun dinyalakan. Nabi Ibrahim diikat dan diletakkan di atas pelontar lalu dicampakkan ke dalam api yang marak itu.

Ketika Nabi Ibrahim dibakar, burung-burung yang berterbangan juga menyaksikan peristiwa tersebut. Ada seekor burung pipit yang berasa kasihan melihat baginda yang dibakar hidup-hidup itu. Burung pipit itu mahu menolong Nabi Ibrahim.

Burung pipit itu terbang mencari air. Ia menyedut dan menyimpan air tersebut di dalam paruhnya yang kecil itu. Burung-burung lain kehairanan melihat perlakuan burung pipit.

"Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?" tanya burung-burung yang lain.

"Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim," jawab burung pipit.

"Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil. Sia-sia saja usaha kamu itu," kata burung lain pula.

Walau bagaimanapun, burung pipit tidak berputus asa dan meneruskan usahanya untuk membantu Nabi Ibrahim. Lalu ia membawa air yang disimpan di dalam paruhnya itu ke arah api yang marak. Dengan izin Allah, api yang marak itu semakin berkurangan. Itu sahaja yang ia mampu untuk membantu Nabi Ibrahim.

Walaupun sedikit sahaja pertolongannya, ia berpuas hati. Sekurang-kurangnya ia dapat membantu Nabi Ibrahim.

Setelah kayu-kayu itu menjadi bara, maka orang ramai menghampiri unggun api yang telah menjadi bara. Burung pipit itu berasa gembira. Keyakinan burung pipit terhadap kekuasaan Allah semakin kuat dan terbang dengan penuh kesyukuran.

Orang ramai yang berada di situ berasa terkejut apabila melihat Nabi Ibrahim keluar daripada bara api itu seperti sediakala. Badannya sedikitpun tidak melecur.

Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Ketabahan Bilal hadapi seksaan


Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SETIAP hari Umaiyyah bin Khalaf menantikan berita Nabi Muhamamd akhirnya berjaya mati dibunuh oleh hambanya, Bilal bin Rabah.
Beliau tidak senang duduk selagi berita kejayaan pembunuhan itu tidak dibawa pulang oleh Bilal.
Sebenarnya pembunuhan Nabi Muhammad itu bukanlah menjadi matlamat utama si Umaiyyah tetapi beliau membayangkan nama besar yang bakal diperoleh andai misi 'suci' ini berjaya disempurnakan oleh Bilal.
Tentu Umaiyyah akan dipuja, disanjung sehingga tujuh keturunan tidak habis diperkatakan kerana kehebatannya kerana berjaya membunuh baginda Rasulullah!
Namun setiap hari Umaiyyah dihampakan oleh pelbagai alasan Bilal kerana masih tidak berjaya untuk membunuh manusia yang mulia, Nabi Muhammad itu. Sedangkan apa yang berlaku di belakang Umaiyyah, hamba kesayangannya itu sedang menikmati detik-detik keislaman malah Bilal sentiasa berada di sisi Rasulullah.
Untuk membunuh baginda boleh dilakukan bila-bila masa sahaja.
Namun apabila bercakap soal keimanan yang kental dan rasa kasih yang mendalam terhadap Pesuruh Allah itu, Bilal sama sekali tidak akan menikam seseorang yang menyebarkan sebuah agama, antara ajarannya meletakkan semua manusia adalah sama rata, sama taraf.
Juga seseorang yang begitu menjadi obor memberikan beliau semangat untuk menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka.Tidak sesekali Bilal akan cuba mencederakan Nabi Muhammad! Malah Bilal sedia mempertahankan Nabi Muhammad daripada apa juga ancaman dan cubaan yang buruk dari mana-mana pihak yang memusuhi baginda.
Sehinggalah selepas peristiwa keluarga Amar bin Yasir, iaitu bapanya Yasir, ibunya Sumayyah dan adik lelakinya, Abdullah yang diseksa dan mati kerana keengganan mereka untuk meninggalkan Islam.Umaiyyah sentiasa memberi amaran bahawa seksaan seperti itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang berani memeluk Islam. Hatta isteri mahupun anak-anaknya sendiri!
Namun tanpa disangka kata-kata keras Umaiyyah itu hanya menerima ketawa yang besar oleh para pembesar Quraisy yang lain. Ini menyebabkan Umaiyyah kehairanan kerana tidak mengetahui apa-apa.
"Kamu Umaiyyah, ibarat berkawal siang malam tetapi rumah sendiri dimasuki pencuri," kata Abu Lahab sambil berkias. Umaiyyah benar-benar tidak faham kiasan di sebalik kata-kata Abu Lahab itu.
"Kamu hanya pandai bercakap sedangkan kamu tidak tahu apa yang berlaku kepada hambamu sendiri," balas Abu Lahab. Umaiyyah kemudiannya benar-benar tersentak apabila Abu Lahab menceritakan mata kepalanya yang melihat sendiri Bilal meludah patung-patung berhala yang bersepah di sekitar Kaabah sebagai tanda dia telah berpaling daripada ajaran menyembah patung-patung itu.
"Bilal mengaku bahawa Tuhannya sekarang adalah Allah. Itu bukti Bilal sudah menjadi pengikut Muhammad. Perbuatan hamba kamu itu satu penghinaan yang besar kepada kita," tegas Abu Lahab. Umaiyyah benar-benar tidak menyangka hamba yang paling dipercayainya itu sanggup berpaling tadah dan berani menipu. Dia berasa sangat malu. Pada hal Umaiyyah telah menawarkan kemerdekaan kepada Bilal jika hambanya itu berjaya membunuh Nabi Muhammad. Satu tawaran yang sangat diidam-idam dan sama sekali tidak boleh dilepaskan oleh mana-mana hamba. Mereka lazimnya sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan status bebas daripada perhambaan itu.
Tetapi ternyata pengaruh Nabi Muhammad lebih kuat, seolah-olah Muhammad kini merupakan tuan kepada Bilal, bukannya dirinya!
Jadi mengertilah kini Umaiyyyah mengapa misi Bilal sering tertangguh dengan pelbagai alasan. Rupa-rupanya hambanya tidak menikam Muhammad, tetapi telah menikam beliau dari belakang!
"Sekiranya Bilal itu hamba milik aku, pasti sudah aku bunuh dia. Berani dia menghina tuhan kita," kata Abu Suffian pula dengan sengaja bagi menambahkan kemarahan Umaiyyah. Tanpa mampu berkata-kata lagi, Umaiyyah terus pulang ke rumah yang diiringi dengan gelak tawa para pembesar Mekah itu. Setiba di rumah kemarahan Umaiyyah tidak dapat dibendung lagi apabila mendengarkan Bilal tanpa sebarang perasaan takut atau ragu-ragu sedang mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun begitu merdu dan mengasyikkan bacaan si Bilal namun semua itu langsung tidak dapat memadamkan api kemarahan Umaiyyah, malah semakin memarakkan lagi perasaan geram dan sakit hati dia terhadap Bilal.
"Aku suruh kamu bunuh Muhammad, bukan menjadi pengikutnya!!!" bentak Umaiyyah sambil terus memukul Bilal tanpa henti. Bilal yang ketika itu sudah bersedia untuk menghadapi apa juga kemungkinan telah menunjukkan kedegilan yang luar biasa dengan langsung tidak mempedulikan nasib yang bakal diterima.
Malah beliau langsung tidak menunjukkan rasa takut malah cuba mengajak Umaiyyah untuk menerima Islam.
Kata-katanya itu menyebabkan Umaiyyah bertempik marah dan Bilal terus dipukul.Hamba-hamba lain hanya mampu memandang sahaja apabila Bilal teruk diseksa dan dibalun oleh tuan mereka. Malah ada yang menyuruh Umaiyyah supaya Bilal itu terus dibunuh sahaja.
Namun Umaiyyah tidak mahu Bilal segera mati kecuali hendak diseksanya terlebih dahulu sebelum Bilal akan mati secara perlahan-lahan.
Diikat
Lalu apa yang berlaku selepas itu Bilal diikat leher tangan dan kaki yang kemudian diheret seperti anjing untuk dibawa ke padang pasir yang tandus dan panas terbakar untuk diseksa dengan pelbagai seksaan yang pedih. Umaiyyah mahu hambanya itu menerima nasib dan seksaan yang lebih pedih dan teruk daripada yang dialami oleh keluarga Yasir sebelum ini. Apa yang berlaku kepada Bilal di tangan Umaiyyah selepas itu adalah seperti yang kita telah ketahui.
Sudahlah hidupnya selama ini begitu terseksa sebagai hamba abdi dan kini hanya kerana dia mengaku Islam menyebabkan seksaan terhadapnya tiada kesudahan. Malah semakin teruk di peringkat yang paling zalim. Seolah-olah Umaiyyah mabuk darah Bilal yang terpercik ke sana sini akibat diseksa tetapi dalam masa yang sama dia tidak mahu melihat Bilal itu mati!
Dua hari dua malam lamanya Bilal diseksa tanpa henti tanpa sesiapa dapat menahan amukan marah Umaiyyah yang merasakan malu yang ditanggung tidak dapat dibeli walaupun sudahnya Bilal mati.
Sehinggalah Abu Bakar kemudiannya sanggup membeli Bilal dari Umaiyyah dengan tawaran harga yang tinggi. Namun usaha atau urusan jual beli Bilal itu sebenarnya tidak mudah. Umaiyyah tetap enggan melepaskan Bilal, selagi hambanya itu tetap mengaku bahawa Allah itu adalah tuhannya dan tidak kembali semula ke ajaran yang asal.
"Sekalipun Bilal ini mati selepas saya membeli dari kamu Umaiyyah, kamu masih tidak rugi apa-apa kerana saya telah menjualnya kepada kamu dengan harga yang cukup mahal. "Malah saya sebenarnya yang rugi kerana tidak ada faedahnya saya membeli seorang hamba yang pastinya akan menemui maut, Bilal hanya menunggu masa sahaja kerana sesiapa sahaja jika teruk diseksa seperti ini pasti sudah lama dijemput ajal," kata Abu Bakar penuh harap.
Akhirnya Umaiyyah termakan juga dengan kata-kata Abu Bakar itu dan sekurang-kurangnya dia telah menunjukkan kepada rakan-rakannya dan seluruh penduduk Mekah bahawa tidak ada sesiapa yang terlepas jika cuba berpaling dari menyembah berhala.
Umaiyyah akhirnya setuju untuk menjual Bilal kepada Abu Bakar, malah secara sinis beliau yakin Bilal pasti akan mati dan percuma sahaja sahabat baik Nabi Muhammad itu menjual hamba itu kepadanya.
Seperti yang kita ketahui juga, bahawa Bilal bukan sahaja mampu bertahan, malah dipanjangkan Allah akan usianya. Namun yang lebih hebat Bilal mencipta nama yang cukup hebat dan besar dalam sejarah Islam sedangkan asalnya dia seorang hamba abdi!
Umurnya tidak sahaja panjang, malah beliau merupakan antara sahabat-sahabat besar Rasulullah SAW yang melewati sehingga kewafatan baginda, Bilal tetap teruskan perjuangan menegakkan syiar Islam.
Malah 'kebangkitan' Bilal menyebabkan bekas majikannya, Umaiyyah menyesal tak sudah kerana menjualkan hambanya itu kepada Abu Bakar. Malah dia sanggup membeli semula Bilal dari Abu Bakar dengan harga yang berlipat ganda tinggi berbanding harga yang dijual sebelum ini. Umaiyyah sama sekali tidak menyangka Bilal akan sembuh daripada luka-luka yang parah malah begitu menikmati kehidupan sebagai manusia yang merdeka, malah lebih teruk lagi Bilal kini menjadi seteru yang memerangi golongan kafir Quraisy. Ini apabila Bilal turut serta dalam Perang Badar dan berjaya mengalahkan mereka yang dahulunya merupakan tuan kepada Bilal.
Bagaimana dengan nasib Umaiyyah akhirnya, berjayakah beliau membalas dendam terhadap Bilal kerana memalukannya di hadapan orang ramai?
Beliau akhirnya mati malah kepalanya berjaya dipenggal sehingga putus.
Siapa yang berjaya membunuh Umaiyyah itu?
Ikuti seluruh kisah hidup Bilal
melalui buku karya Abdul Latip Talib,
terbitan PTS,
Bilal Bin Rabah - Pengumandang Seruan Langit!

Tuesday, July 14, 2009

RENUNGAN: Terjemahan Bacaan Talkin...



Assalamualaikum semua....


Maksud (dalam RUMI) talkin yang selalu dibaca utk orang yg meninggal dunia.


Masa baca tu, sebut2lah nama sendiri yer...., kalau tak terasa meremang, sama2lah kita lebihkan amal ibadat. Bukanlah perkara yang mudah setelah mambaca atau menghafalnya begitu sahaja sesungguhnya hanya amalan baik yg kita lakukan selama hidup di dunia yg akan menjadi penyelamat, InsyaAllah..


WALLAHU A'LAAMM.


------------------------------------------------------------------------------------------Bismillah Hir Rah Man Nir Rahim.


Mahasuci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam, Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa,


Mahasuci Tuhan yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.


Mahasuci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.


Ingatlah ! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Ialah Tuhan yang Mahabesar kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadirat Allah Taala.


Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA,


hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini.Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.


Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat yang serupa dengan kamu iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan risau serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.


Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala.


Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal kamu.Mereka berkata:


Siapakah Tuhan kamu?


Siapakah Nabi kamu?


Apakah agama kamu?


Apakah kiblat kamu?


Siapakah saudara kamu?


Apakah pegangan iktikad kamu?


Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?


Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul.


Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.


Hendaklah kamu jawab begini:


Allah Taala Tuhanku,


Muhammad Nabiku,


Islam agamaku,


kitab suci Al-Quran ikutanku,


Baitullah itu qiblatku,


malahan solat lima waktu, puasa di bulanRamadhan,mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku.


Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammaddur Rasulullah".


Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal didalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.


Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawasanya mati itu adalah benar, soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar,bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar, ada syurga dan neraka adalah benar.


Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.


Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala.


Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah mudahan Allah Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini.Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.


Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.


Subhana Rabbika Rabbil Izati Amma Ya Sifun Wassallamu Alalmursalinwalham Dulillahi Rabbil Alamin.


************************************************************************************


Saudara-saudaraku sekalian,Setiap yang Bernafas, Pasti akan Mati -


"Kullu Nafsin Za Iqatul Maut"


Firman Allah swt, "Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang ingat-mengingati supaya mentaati kebenaran, dan yang ingat-mengingati dengan kesabaran."


Surah Al-A'sr .


Dari Abdullah bin 'Amr R.A, Rasulullah S.A.W bersabda:


"Sampaikanlah pesanku walaupun satu ayat..."


Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur "masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN" dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.


Bertanya orang kepada Rasulullah saw : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?"


Maka jawabnya Rasulullah saw "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'."


Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu "itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN" mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian" Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba-hamba Ku.


Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati.


1. Para Nabi


2. Para Ahli Jihad


3. Para Alim Ulama


4. Para Syuhada


5. Para Penghafal Al Quran


6. Imam atau Pemimpin yang Adil


7. Tukang Azan


8 . Wanita yang Mati Bersalin


9. Orang Mati Dibunuh atau Dianiaya


10. Orang yang Mati pada Siang atau Malam Hari Jumaat (jika mereka itu dari kalangan orang-orang yang beriman).


Didalam satu riwayat yang lain dari Jabir bin Abdullah ra sabda Rasulullah saw :Apabila datang hari qiamat dan orang2 yang berada di dalam kubur dibangkitkan maka Allah swt memberi wahyu kepada Malaikat Ridhwan:


"Wahai Ridhwan, sesungguhnya Aku telah mengeluarkan hamba-hamba Ku berpuasa (ahli puasa) dari kubur mereka di dalam keadaan letih dan dahaga.Maka ambillah dan berikan mereka segala makanan yang digoreng dan buah-buahan syurga."


Maka Malaikat Ridhwan menyeru, wahai sekelian kawan-kawan dan semua anak-anak yang belum baligh, lalu mereka semua datang dengan membawa dulang dari nur dan berhimpun dekat Malaikat Ridhwan bersama dulang yang penuh dengan buahan dan minuman yang lazat dari syurga dengan sangat banyak melebihi daun-daun kayu di bumi.


Jika Malaikat Ridhwan berjumpa mukmin maka dia memberi makanan itu kepada mereka sambil mengucap sebagaiman yang difirman oleh Allah swt di dalam Surah Al-Haqqah bermaksud "Makan dan minumlah dengan sedap disebabkan AMAL yang telah kamu kerjakan pada HARI yang telah LALU itu."




*Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain.


Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati. "


Dan ( ingatlah ) Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan." Surah Al-Baqarah : 237


Untuk renungan dan amalan bersama. Walla'Hualam...


"LAA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINALZHAALIMIIN"